KUALA LUMPUR 18 Jun - Sekurang-kurangnya lapan perampas bersenjata dilihat berada atas kapal tangki Malaysia "MT Orkim Harmony" yang hilang pada Khamis lalu dan kini dikesan di perairan Kemboja, demikian menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kesemua mereka yang berada di kapal itu, yang dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon', bersenjatakan pistol dan parang.
Mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu loghat Indonesia, katanya dalam satu tweet.
"KD Terengganu sekarang sedang memujuk perompak-perompak yang berada atas kapal itu supaya menyerah diri dan berjanji mereka tidak akan diapa-apakan. KD Terengganu sedang mengekori kapal tersebut dan berkomunikasi dengan Kapten kapal itu.
"Semua kru berada dalam keadaan selamat dan tidak diapa-apakan," katanya.
"Kapal tangki yang membawa muatan petrol itu dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun ketika dalam pelayaran dari Melaka di pantai barat ke Kuantan di pantai timur Semenanjung.
Kapal tangki itu milik Magna Meridian Sdn Bhd dan daripada 22 krunya, 16 daripada mereka warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar. - BERNAMA
0 Comments