adsadz18

Australia Terus Rayu Indonesia Bebas 2 Warganya Dari Hukuman Mati

SYDNEY: Perdana Menteri Australia Tony Abbott terus merayu pada Indonesia agar memberi perhatian terhadap permintaan bagi membebaskan dua rakyatnya yang terlibat kes penyeludupan dadah daripada dijatuhkan hukuman mati.

Abbott pada masa yang sama beri amaran bahawa Canberra bakal bertindak sesuatu bagi menunjukkan ‘rasa tidak senang’ sekiranya hukuman itu diteruskan juga.

Andrew Chan, 31, dan Myuran Sukumaran, 33, berdepan hukuman mati oleh skuad penembak selepas didapati bersalah cuba menyeludup heroin dari Bali ke Australia pada tahun 2005.


“Jutaan warga Australia sangat kecewa tentang nasib dua individu tersebut di Indonesia. Saya merayu, walaupun dalam peringkat akhir ini, agar Indonesia memberi maklum balas kepada kami sama seperti mereka mahukan negara lain mendengar rayuan mereka berkaitan hukuman mati warga Indonesia di luar negara,” ujar Abbot.

Media Australia melaporkan bahawa terdapat 360 warga Indonesia menanti hukuman mati di negara-negara seperti  Malaysia, Singapura, China, Saudi Arabia dan Qatar. Sejumlah 230 daripada jumlah itu adalah berkaitan dengan pendakwaan kes dadah.

Abbot mengungkit bahawa Australia selama ini sentiasa membantu Indonesia ketika berdepan masalah, khususnya ketika bencana tsunami Asia paa tahun 2004.

“Kami mengecam hukuman mati. Kami anggap itu tidak bertamadun,” kata Abbot kepada media negaranya.

Menteri Luar Australia Julie Bishop telah memberi amaran kepada Jakarta agar tidak memandang rendah terhadap kuasa emosi awam terhadap dua warganya yang sedang menanti hukuman tersebut.

Katanya, para pelancong akan memboikot Indonesia, khususnya Bali yang merupakan persinggahan popular dalam kalangan warga Australia.

Chan dan Sukumaran gagal mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo kerana pemimpin tersebut merupakan penyokong kuat ke atas hukuman mati bagi pesalah melibatkan kes dadah.

Sewaktu melawat kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur dalam rangka kunjungan perdana ke Malaysia awal Februari lalu, Joko Widodo mengulang ikrar tersebut di hadapan ratusan rakyatnya.

“Indonesia sedang dalam darurat dadah. Setiap tahun sejumlah 18,000 rakyat kita mati akibat najis tersebut. Itu belum lagi termasuk 4.2 juta yang sedang menjalani rawatan pemulihan dan 1.2 juta lagi yang tidak dapat dipulihkan.

“Maka, saya kental dengan pendirian saya untuk tidak langsung memberi pengampunan kepada mana-mana pesalah kes dadah,” katanya yang menerima tepukan dan sorakan gemuruh tanda sokongan terhadap keputusan beliau.-astroawani

Post a Comment

0 Comments