Dikala hampir semua lensa berita media perdana antarabangsa bertumpu kepada ISIS, kita hampir dilupakan dengan permasalahan lebih besar yang dihadapi oleh rakyat Sunni Iraq. Masalah ini telah mereka hadapi sebelum ISIS timbul lagi dan menjadi semakin parah dengan kehadiran ISIS. Mata masyarakat dunia dipesongkan kepada ISIS ketika rakyat Sunni terus dirobek-robek oleh golongan pelampau Syiah di Iraq. Inilah masalah terbesar yang dihadapi oleh rakyat Iraq hari ini, bukannya ISIS.
Lebih kritikal lagi rakyat Sunni Iraq berhadapan dengan `tiga-segi’ Syiah yang berkomplot, saling bantu-membantu, dan mempunyai kekuatan jangka-panjang. Mereka lebih sukar untuk dikenali kerana tidak berpakaian hitam dan tidak mengangkat bendera hitam tetapi mereka berada ditampuk kekuasaan ;
- kerajaan Iraq yang didominasi oleh golongan Syiah
- kumpulan ektremis / militia Syiah didalam Iraq
- dan campurtangan kerajaan Iran
Kerajaan Iraq yang dipimpin Nouri al Maliki dan didominasi oleh golongan Syiah sejak 2006 telah menzalimi rakyat Sunni dengan menganak-tirikan mereka dalam pelbagai kemudahan, menghukum secara tidak adil antara golongan Sunni dan Syiah, memindahkan mereka dari kampung asal, korupsi, pelbagai pencabulan hak bahkan membawa kepada penyiksaan dan pembunuhan. Ini dilakukan oleh tentera Iraq sendiri atau dengan bantuan kumpulan-kumpulan militia Syiah. Pemimpin dan ulama’ Sunni dituduh dengan pelbagai tuduhan yang samar untuk menghapuskan mereka dari arena politik Iraq sepertimana yang berlaku kepada Naib Presedin Sunni Tariq al-Hashimi. Bentuk-bentuk ketidak-adilan dan kezaliman ini boleh dilihat dalam senarai panjang tuntutan golongan Sunni kepada kerajaan Iraq [1]. Kerajaan Iraq memberi berbagai janji manis tetapi akhirnya tidak dikotai.
Aktiviti golongan ektrimis Syiah juga dibiarkan berleluasa oleh kerajaan Iraq bahkan mereka dipergunakan oleh kerajaan Iraq untuk menekan golongan Sunni. Apabila berlaku penaklukan Mosul oleh ISIS pada Jun 2014 dan ISIS mulai mara ke Baghdad, kerajaan Iraq telah mengadakan kerahan tenaga dikalangan rakyat atas nama mempertahankan Iraq. Pemimpin Syiah Ayatullah Sistani pada 13 Jun mengeluarkan fatwa memanggil rakyat menentang golongan ISIS. Yang menyambut seruan adalah golongan militia Syiah dan mereka dibekalkan dengan persenjataan bahkan pakaian tentera. Lebih USD 1 billion dibelanjakan untuk memperlengkapkan ‘sukarelawan Syiah’ [2]. Akhirnya yang berlaku adalah militia Syiah ini menjadi pembunuh dan penghapus kaum Sunni di Iraq bertopengkan menentang ISIS [3]. Anehnya ketika Amerika menakluk Iraq pada 2003, golongan Syiah umumnya berdiam diri dan membiarkan golongan Sunni yang cuba menentang penaklukan tersebut.
Antara yang terbaru adalah pembunuhan lebih 34 jemaah Sunni yang sedang bersolat jumaat di Masjid Mus’ab bin Omar di wilayah Diyala pada 22 Ogos 2014. Laporan al-Jazeera menyebut lebih 70 yang terbunuh. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Ulama’ Iraq pada 23 Ogos mengecam pembuhunan kejam ini yang dilakukan oleh militia Syiah dengan sokongan tentera Iraq [4]. Ini disahkan kemudiannya oleh laporan yang dikeluarkan oleh Human Right Watch juga menunjuk kearah tentera Iraq dan militia Syiah sebagai yang bertanggungjawab [5]. Pembersihan kaum juga berlaku di Kota Baghdad yang dulunya didiami oeh 45% Sunni kini tinggal hanya 27% sahaja. Kumpulan militia ini juga meresap masuk kedalam tentera Iraq sehingga Amnesty International dalam laporannya pada Oktober 2014 tidak pasti samada tentera Iraq yang memberi arahan kepada militia Syiah atau militia Syiah yang memberi arahan kepada tentera Iraq [6]. Pada 17 Oktober 2014, Iraq telah melantik Mohamed al-Ghabban sebagai Menteri Dalam Negeri. Beliau adalah seorang Syiah dari pertubuhan al Badar (Badr Organisation) yang mempunyai kumpulan militianya sendiri. Ini mengaburkan lagi garis pemisah antara tentera Iraq dan militia Syiah.
Iran juga telah lama mengidam untuk menguasai Iraq. Iran dan Iraq adalah dibawah empayar Parsi sehinggalah Saad bin Abi Waqqas mula mengalahkan mereka dimedan Qadisiyah. Iran juga mempunyai dendam lama kepada Iraq sejak Perang Iran-Iraq 1980an. Selepas keluarnya Amerika pada 2011, ini merupakan peluang lebih baik bagi Iran. Bukan sahaja Iraq bertukar menjadi kerajaan Syiah seperti mereka tetapi kerajaan Iraq menjemput mereka untuk masuk atas nama menentang golongan ISIS.
Tidak sampai seminggu selepas ISIS didakwa menawan Mosul, Iran telah menghantar 3 batalion Al Quds Force (Tentera Al Quds) ke Iraq. Al Quds Force yang diketuai General Qassem Sulaimani adalah unit khas dibawah tentera Pengawal Revolusi Iran. Kerajaan Iraq menerima mereka dengan alasan untuk menentang ISIS dan membantu menentang keganasan. Menurut Mowaffak Al Rubaie, bekas Penasihat Keselamatan kepada kerajaan Nouri Maliki, Iraq menerima bantuan dari Iran kerana mereka tiba dengan segara berbanding dengan bantuan serangan udara Amerika yang mengambil masa berbulan sebelum ianya dilakukan. Dikala Iraq menolak campurtangan tentera asing dalam urusan mereka tetapi Iraq menerima dengan terbuka ‘pertolongan’ yang datang dari Iran [7]. Malangnya kehadiran tentera Iran memperkukuhkan lagi cengkaman kerajaan dan militia Syiah keatas rakyat Sunni. Bagi Iraq, Iran hari ini adalah rakan strategic mereka. Iraq telah mula berpaling dari lingkungan negara Arab Islam kepada kepada lingkaran Syiah yang diketuai Iran.
Keadaan ini menunjukkan betapa rapatnya hubungan kerjasama antara ketiga-tiga anasir Syiah dalam memerangai rakyat Sunni di Iraq menggunakan topeng anti-keganasan yang dibekalkan oleh ISIS. Human Right Watch dalam laopran bertarikh 11 Julai 2014 melaporkan lebih 255 tahana penjara Sunni dibunuh oleh Tentera Iraq dan militia Syiah menggunakan alasan membalas dendam terhadap keganasan dan pembunuhan oleh ISIS. Ancaman Syiah ini jauh lebih bahaya dan berjangka panjang jika dibandingkan dengan ancaman ISIS yang ibarat hanya bidak (pawn) yang dipergunakan oleh Syiah diatas papan catur yang lebih besar.
Kebelakangan ini ISIS mula menerima kekalahan demi kekalahan di medan perang. 'Kekebalan' ISIS yang digembar-gemburkan nampaknya tidak bertahan lama. Cerita ISIS di Iraq akan datang dan pergi. Namun faktor ancaman Syiah akan berterusan dihadapi oleh rakyat Sunni Iraq. Apabila cerita ISIS sudah mulai hilang, tentera revolusi Iran yang telah memasuki Iraq tidak akan keluar dengan mudah. Kumpulan-kumpulam mitilia yang telah diperlengkapkan dengan senjata menjadi ancaman berterusan didalam Iraq. Kerajaan Iraq yang didominasi golongan Syiah tidak kelihatan untuk membuka ruang dengan adil kepada rakyat Sunni dalam masa terdekat.
Rakyat Sunni Iraq harus diperkasakan. Bukan untuk melawan api dengan api, tetapi untuk mempertahankan hak mereka dan menyekat kezaliman. Racun pergeseran antara kaum dan agama yang ditimbulkan selepas Amerika memasuki Iraq harus dihapuskan. Arab dan Kurdi, Sunni dan Syiah ..... telah ratusan tahun hidup bersama dengan relatif keamanan dibawah khilafah-khilafah Umayyah, Abbasiah dan Uthmani. Perbezaan aqidah bukan sebab untuk berbunuhan dan menzalimi. Allah SWT lah yang menciptakan manusia dengan kepelbagaian bangsa dan agama. Tentu saja Dia boleh menciptakan seluruh manusia satu bangsa dan satu agama jika DIa mahu, tetapi Dia lebih mengentahui hikmahnya.
Begitulah ketika para malaikat bertanya " ...... “Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. ( Baqarah : 30 )
Hidup aman dengan hormat-menghormati dengan mereka yang belum mendapat hidayah atau mereka yang terpesong kefahaman pada Islamnya, sama sekali tidak bererti kita meredhai aqidah mereka kerana kita akan kembali kepada Allah diatas ketaqwaan masing-masing. Tetapi kehidupan yang baik itulah permulaan dakwah yang subur mengajak mereka kembali kepada Islam yang benar dan menjadi asbab Allah membuka ruang pintu hidayah kepada mereka.
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". ( Hujurat : 13 )
Dengan panggilan `wahai manusia', Allah menegaskan kedudukannya sebagai Tuhan kepada seluruh manusia samada yang Muslim ataupun tidak. Hakikat ketuhanan Allah bukan kepada bangsa Arab, Melayu atau kumpulan tertentu sahaja. Seruan ini juga menyuruh seluruh manusia berlaku aman sesama mereka, bukan tuntutan terhadap orang Islam semata.
Wallahu’alam.
Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
J/kuasa Pembelaan Ummah Sejagat
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor
[1] Support Iraqi protests against the second face of the Occupationhttp://www.brussellstribunal.org/article_view.asp…
[2] Ex-Iraqi PM: spending on Shiite militia’s justified to proect government –http://rudaw.net/english/middleeast/iraq/231120141
[3] http://www.heyetnet.org/…/1031-after-the-execution-of-dozen…- in-diyala-the-association-condemns-the-ethnic-cleansing-practiced-by-sectarian-militias
[4] Foreign Policy : The Gangs of Iraq - Marauding pro-government militias are using the fight against the Islamic State as a pretext to destroy Sunni Arab communities across the country. Nov 3, 2014
[5] Human Right Watch Media Release 2 Nov 2014 : Iraq ; Survivors Describe Mosque Massacre
[6] Amnesty International : Absolute Impunity – Militia Rule in Iraq. October 2014
[7] Al Jazeera : Head to Head with Mahdi Hasan – Will ISIL put an end to Iraq?
0 Comments