PORT DICKSON - Kesukaran membuka dan memasang tayar kenderaan berat mencetuskan ilham kepada Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) di sini untuk mereka cipta sebuah alat yang dipanggil 'Spider Heavy Wheel Carrier'.
IJED telah menubuhkan kumpulan 'Me-Creator' yang terdiri daripada enam pegawai dan anggota diketuai Mej V. Suthan pada Februari 2012 dan mengambil masa sebelas bulan untuk mereka cipta sehingga menghasilkan alat itu.
Alat ini telah dipertandingkan dan memenangi Anugerah Persembahan Terbaik Kebangsaan dan Anugerah Pengiktirafan Bagi Pengkomersialan Produk pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam 2014 ke-31 Peringkat Kebangsaan di Johor Baharu pada 1 dan 4 Disember lepas.
Menceritakan kejayaan kumpulannya, Suthan berkata, alat ini memudahkan kerja-kerja membuka dan memasang tayar kenderaan berat untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan roda kenderaan berat seperti melaras brek, menukar pegas, membuat penggiliran tayar dan sebagainya.
Katanya, alat yang direka ini dapat memberikan penjimatan kos membuka dan memasang tayar bagi semua jenis kenderaan berat, selain daripada menjimatkan masa dan tenaga.
Sebelum ini masalah tayar yang berat menyukarkan kerja-kerja membuka dan memasang tayar pada kenderaan atau jentera berat dan masalah itu mencetuskan idea untuk mereka cipta peralatan bagi memudahkan kerja-kerja berkenaan.
Kaedah lama untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan memerlukan empat orang anggota dengan bantuan dua batang besi untuk mengumpil tayar keluar dari hab.
"Ini disebabkan kenderaan berat tidak dibekalkan peralatan khusus untuk membuka, mengangkat dan memasang tayar kenderaan berat. Setelah tayar dibuka baharulah kerja-kerja senggaraan dapat dilaksanakan," kata beliau.
Cara yang diamalkan ini kurang praktikal kerana menggunakan ramai tenaga kerja dan masa kerja yang panjang serta keselamatan anggota kurang terjamin, katanya kepada pemberita pada majlis demonstrasi alat 'Spider Heavy Wheel Carrier' di sini, hari ini. - Bernama
0 Comments